Saturday, May 22, 2010

Mengapakah berlaku kekacauan dengan meluasnya di Perak dan Selangor pada tahun 1860-an dan 1870-an.

Pengenalan

Perak dan Selangor merupakan dua buah negeri yang kaya dengan bahan mentahnya iaitu bijih timah. Peningkatan kegiatan ekonomi ini telah membawa masuk buruh Cina ke Tanah Melayu. Namun menjelang pertengahan abad ke 19 keadaan politik di kedua-dua buah negeri ini mula tidak stabil disebabkan berlakunya huru-hara dan kekacauan yang melibatkan para pembesar, kerabat diraja dan juga masyarakat Cina. Kekacauan ini berlaku disebabkan oleh factor politik, ekonomi dan social.

Isi

Di Perak, kekacauan berlaku disebabkan berlakunya perebutan kuasa dikalangan kerabat diraja. Masalah perebutan takhta di Perak berlaku kerana tidak ada sistem penggantian sultan secara automatik atau warisan. Ini kerana Perak mengamalkan sistem giliran yang meliputi tiga keluarga diraja.

Menurut sistem ini, seseorang bakal sultan sepatutnya memegang jawatan Raja Di Hilir, Raja Bendahara dan Raja Muda sebelum menjadi sultan. Masalah tercetus apabila sistem giliran ini tidak diikuti dengan betul. Terdapat pembesar yang berpengaruh sering campur tangan dalam soal perlantikan sultan. Oleh itu terdapat pengganti sultan yang diketepikan tanpa alasan yang munasabah. Keadaan ini berlaku antara Raja Yusuf, Raja Ismail dan Raja Abdullah

Kekacauan menjadi semakin rumit apabila melibatkan pula kumpulan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin. Pergaduhan berpunca daripada sikap tamak untuk menguasai kawasan perlombongan bijih timah di Kemunting dan Taiping. Masalah bertambah runcing apabila kedua-dua kongsi gelap ini terlibat dalam pertelingkahan merebut takhta kerajaan. Puak Hai San menyebelahi Raja Ismail dan Ngah Ibrahim, sementara puak Ghee Hin memihak kepada Raja Abdullah. Sesungguhnya persengketaan antara pembesar dan kongsi gelap ini menjejaskan aktiviti perlombongan dan menggangu perdagangan di negeri-negeri Selat.

Kekacauan di negeri Selangor pula memperlihatkan trend yang hampir serupa berlaku di negeri Perak. Perang saudara ini berlaku kerana perebutan kawasan perlombongan bijih timah antara Raja Mahdi dengan Raja Abdullah. Sultan Muhammad Syah telah menyerahkan daerah Kelang kepada putera sulungnya iaitu Raja Sulaiman. Raja Sulaiman tidak memajukan daerah tersebut. Apabila Raja Sulaiman mangkat pada tahun 1850, Sultan Muhammad telah menyerahkan kuasa memerintah daerah Klang kepada menantunya, Raja Abdullah kerana jasanya menolong sultan menyelesaikan hutang dengan saudagar-saudagar Melaka.

Raja Abdullah telah memajukan Klang dengan menjemput pelombong Cina. Akhirnya Klang menjadi kawasan perlombongan bijih timah yang kaya.

Tindakan Sultan Muhammad menimbulkan bantahan dan rasa tidak puas hati putera Raja Sulaiman iaitu Raja Mahdi. Raja Mahdi berpendapat baginda lebih berhak mewarisi daerah Klang. Raja Mahdi berjaya mengusir Raja Abdullah dan menguasai daerah Kelang. Bagaimanapun perjuagan Raja Abdullah telah diteruskan oleh anaknya Raja Ismail apabila Raja Abdullah mangkat. Raja Ismail berjaya menguasai kawasan hilir Kelang. Sultan Abdul Samad yang memerintah ketika itu telah melantik Tengku Kudin bagi menyelesaikan masalah antara Raja Mahdi dan Raja Ismail. Bagaimanapun Raja Mahdi enggan enggan mengakui Tengku Kudin sebagai wizurai kerana Tengku Kudin bukan kerabat diraja Selangor. Kedua-dua pihak mencari sekutu masing-masing. Bagi Tengku Kudin dan Raja Ismail, mereka mendapat bantuan dan sokongan daripada Yap Ah Loi dan Fui Chew (Hai San). Selain itu mereka juga mendapat bantuan kewangan daripada saudagar Cina di Melaka. Malah Tengku Kudin juga telah meminjam wang daripada tokoh-tokoh kewangan Singapura.Raja Mahdi pula mendapat sokongan drp Maharaja Abu Bakar dan kongsi Gelap Ghee Hin.

Perang Klang bertambah rumit dengan adanya pertelingkahan antara dua kumpulan pelombong Cina di Selangor iaitu puak Kah Yeng Chew merupakan ahli kongsi gelap Ghee Hin yang berpusat di Kancing dan puak Fei Chew merupakan ahli kongsi gelap Hai San berpusat di Kuala Lumpur. Pelombong-pelombong di Kancing diketuai oleh kapitan Ah Sze dan di Kuala Lumpur diketuai oleh Kapitan Yap Ah Loy

Pertelingkahan bermula pada tahun 1869, apabila wakil Yap Ah Loi di Kancing dibunuh oleh puak Kah Yew Chew yang diketuai oleh Chong Chong. Yap Ah Loi berjaya mengusir Chong Chong dari Kancing dgn bantuan pengikutnya. Chong Chong melarikan diri ke Rawang dan bersatu dengan Raja Mahdi dalam Perang Klang

Pada tahun 1872, Chong Chong membantu Raja Mahdi dan berjaya menawan Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Klang dan Petaling. Yap Ah Loy memihak kepada Tengku Kudin dan mendapat bantuan Inggeris.

Pada tahun 1873, Tengku Kudin berjaya menawan semula Kuala Lumpur dengan bantuan Yap Ah Loy dan pengikut-pengikutnya. Sebagai membalas jasa Tengku Kudin telah melantik semula Yap Ah Loy sebagai kapitan Cina di Kuala Lumpur.

Kesimpulannya kekacauan yang berlaku di Perak dan Selangor menjadi penyebab utama campur tangan Inggeris di Tanah Melayu. Ini disebabkan desakan oleh saudagar-saudagar Negeri Selat supaya memulihkan keamanan agar kegiatan perdagangan dan pelaburan Inggeris tidak terjejas. Keadaan ini membawa kepada Perjanjian Pangkor yang menandakan bermulanya campur tangan Inggeris di Negeri Melayu dan memperkenalkan pula system pentadbiran Barat.

Bincangkan perubahan kedudukan dan peranan penghulu sebelum dan selepas campur tangan British pada tahun 1874.

Pendahuluan

Unit politik paling kecil dalam system politik Melayu ialah kampung. Biasanya penghulu merupakan orang yang penting dalam pentadbiran kampung. Perlantikan penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah dan biasanya mereka ini akan menerima surat tauliah daripada Sultan

Isi.

Sebelum campur tangan British penghulu memainkan peranan sebagai orang perantaraan antara pembesar daerah dengan orang kampung. Penghulu menjalan tugas pentadiran disamping menyuarakan pandangan dan masalah yang dihadapi penduduk kampung yang ditadbirnya kepada pihak yang lebih tinggi. Penghulu mempunyai pengikut yang dikenali sebagai anak buah. Penghulu mempunyai pengaruh dan kuasa ke atas anak buahnya. Biasanya jawatan penghulu diwarisi dan golongan ini amat dihormati oleh penduduk kampung . Penghulu menyelesaikan pertikaian yang timbul, memilihara keamanan kampung, mengerah rakyat melaksanakan perintah pembesar dan raja secara sukarela, serta sebagai lambang perpaduan di sesebuah kampung. Penghulu tidak dibayar gaji tetapi mempunyai sumber pendapatan daripada cukai perdagangan dan bayaran sebahagian daripada hasil pendapatan yang diterima daripada anak buahnya.

Tugas lain penghulu adalah seperti :

1. menjaga keamanan kampung

2. membekalkan tenaga tentera semasa berlaku peperangan

3. menyediakan buruh dari kampungnya dibawah system kerah

4. memunggut cukai dan hasil-hasil

5. memastikan penduduk kampong taat setia kepada sultan dan pembesar daerah.

Penghulu adalah dibawah kawalan pembesar daerah . Penghulu sangat rapat dengan penduduk kampung dibawah kawalannya.

Selepas campur tangan British, institusi penghulu dikekalkan oleh British kerana British sedar akan kepentingan pengaruh penghulu dalam pentadbiran kerajaan. Penghulu merupakan orang perantaraan antara kerajaan British dengan kaum tani. Penghulu menjadi ejen atau wakil kerajaan di kampung mereka.

Di bawah British penghulu diberi gaji, berpencen dan biasanya mereka ini berpindidikan.

Penghulu tidak lagi dikawal oleh pembesar daerah tetapi oleh pihak British. Jika pihak British hendak berhubung dengan orang kampung, maka penghululah orang yang memainkan peranan penting. Penghulu tidak lagi dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi oleh pegawai daerah atau residen British. Segala pencalonan, perlantikan, pemecatan dan bidang kuasanya ditetapkan oleh residen dalam Majlis Mesyuarat Negeri dan sultan hanya mengesahkan sahaja.

· Tugas-tugas lain penghulu ialah :

  1. memungut hasil
  2. memilahara keamanan dan keselamatan
  3. menghakimi kes-kes jenayah kecil dan menjatuhkan hukuman.
  4. menyampaikan maklum balas rakyat kepada pihak kerajaan

Kesimpulan

Institusi penghulu penting sebelum dan selepas campur tangan British. Apa yang membezakannya adalah perubahan tugas. Selepas campur tangan British, penghulu tidak lagi dikawal pembesar daerah tetapi oleh British.. institusi penghulu telah dimasukkan dalam birokrasi awam British.. Penghulu adalah ahli kerajaan yang bergaji dan hak serta tanggungjawabnya tertakluk dibawah undang-undang negeri. Sumber kuasa penghulu adalah dari pentadbiran British dan bukan lagi pembesar daerah.

Friday, May 21, 2010

“Masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat feudal”. Bincangkan pernyataan ini.

Pendahuluan
• Masyarakat Melayu Tradisional merupakan masyarakat feudal
• Dari segi struktur, masyarakat ini dibahagikan kepada golongan pemerintah yang terdiri daripada sultan, pembesar daerah, serta penghulu dan golongan yang diperintah yang terdiri daripada rakyat bebas dan hamba. Hubungan antara kedua-dua golongan ini adalah hubungan timbal balik dan saling melengkapi antara lapisan sosialnya.
• Dalam masyarakat feudal ini, kedudukan politik golongan pemerintah tidak dipersoalkan langsung oleh golongan yang diperintah. Rakyat menerima sesuatu arahan tanpa soal.

Isi
i) Sultan sebagai tonggak pemerintahan
• politik feudal menentukan kekuasaan mutlak sultan.
• rakyat taat setia kepada sultan. Sesiapa yang melanggar perintah sultan dianggap menderhaka dan dipercayai akan ditimpa tulah.
• kedudukan sultan diperkukuhkan dengan system kepercayaan dan agama. Konsep daulat dan derhaka mengukuhkan kedudukan seseorang sultan.
• Sultan mempunyai keistimewaan yang membezakan dengan golongan lain, misalnya warna tertentu dikhaskan kepada sultan dan kerabatnya, penggunaan bahasa istana, cop mohor, nobat dan alat kebesaran.
• Sultan menjadi ketua dalam unit politik terbesar, iaitu negeri.

ii) Pembesar Daerah
• Menduduki lapisan selepas sultan dan termasuk dalam golongan pemerintah.
• Pembesar daerah memerintah di daerah atau kawasan pemakanan yang dikurniakan oleh sultan. Pembesar daerah dilantik oleh sultan melalui surat tauliah.
• Golongan pembesar daerah dibahagikan kepada beberapa lapisan. Secara amnya terdapat Pembesar Berempat, Pembesar Berlapan, Pembesar Enam Belas, Pembesar Tiga Puluh Dua dan seterusnya. Ini juga mencerminkan kedudukan mereka dikalangan pembesar daerah yang ada.
• Selain mentadbir, tugas pembesar daerah merangkumi tugas seperti memungut cukai dan menjaga keamanan. Sebahagian daripada cukai yang dipungut mesti diserahkan kepada sultan sebagai sagu hati.
• pembesar daerah menjadi perantaraan antara sultan dengan rakyat.


iii) Penghulu
• Menduduki lapisan selepas pembesar daerah.
• Mentadbir unit politik terkecil, iaitu kampung.
• Penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi dilantik oleh sultan melalui surat tauliah.
• Penghulu menjadi orang perantaraan antara pembesar daerah dengan anak buahnya di kampung.
• Penghulu menjalankan tugas memungut cukai dan hasil, menyelesaikan kes jenayah yang kecil, serta membekalkan buruh kepada sultan dan pembesar daerah melalui sistem kerah.

iv) Rakyat
• Rakyat terdiri daripada rakyat bebas dan hamba
• Rakyat taat setia kepada sultan dan pembesar daerah. Mereka membayar cukai kepada golongan ini dan menjalankan sistem serah dan kerah.

v) Hamba
• Menduduki lapisan paling bawah dalam hierarki masyarakat Melayu
• Terdapat tiga jenis hamba iaitu hamba raja, hamba biasa dan hamba berhutang.

vi) Hubungan saling bergantung/timba balik

a. Hubugan antara sultan dengan pembesar daerah.
• sultan memerlukan sokongan pembesar daerah kerana mereka merupakan penentu perlantikan sultan. Sultan memerlukan pembesar daerah untuk menjamin kedudukannya.
b. Hubungan antara pembesar daerah dengan sultan
• kekuatan dan pengaruh pembesar daerah mesti disokong oleh lencana dan gelaran yang hanya dikurniakan oleh sultan. Inilah yang akan diiktiraf oleh golongan bangsawan.
• sultan diperlukan oleh pembesar daerah untuk menjamin keamanan dan mengukuhkan ekonomi kerana baginda adalah lambing perpaduan dan kepentingan ekonomi Negara.
• Pemebsar daerah adalah orang perantaraan antara sultan dan rakyat.
c. Hubungan antara penghulu dengan sultan dan pembesar daerah.
• Penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi dilantik oleh sultan melalui surat tauliah.
• Penghulu adalah orang perantaraan antara pembesar daerah dengan anak buahnya.
d. Hubungan antara rakyat dengan golongan pemerintah.
• Rakyat memberi taat setia yg tidak berbelahbahagi kepada sultan dan pembesar daerah.
• Rakyat juga taat setia kepada penghulu di kampong mereka.
• Rakyat membayar cukai kepada golongan pemerintah dan menganggap pembayaran ini sebagai undang-undang.
• Rakyat menjalankan system kerah dan serah tanpa soal.

Kesimpulan.
• Memang tdk dinafikan bahawa masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat feudal.
• Masyarakat ini mempunyai lapisan social yang diketuai oleh sultan.
• Golongan pemerintah membekalkan keselamatan dan perlindungan manakala golongan diperintah memberikan perkhidmatan sebagai balasan kepada perlindungan dan keselamatan itu.