Wednesday, July 27, 2011

Pelaksanaan system residen mendatangkan pelbagai kesan ke atas negeri-negeri melayu dari tahun 1873 hingga 1888. Bincangkan.

Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 yang ditandatangani di pulau Pangkor Perak telah melambangkan titik permulaan campur tangan British secara rasmi di tanah Melayu. Selepas peristiwa tersebut, negeri-negeri Melayu lain turut jatuh dalam tangan penjajah. Dalam proses ini, system residen telah diperkenalkan dalam beberapa negeri Melayu iaitu Perak (1874), Selangor (1874), Pahang (1888) dan Negeri Sembilan (1896). Sistem residen ini telah mendatangkan pelbagai kesan terhadap negeri-negeri Melayu yang berkenaan.

Antara kesan pelaksanaan sistem residen ialah kehilangan kuasa sultan dan golongan pembesar tempatan. Pada asalnya, residen hanya ditugaskan untuk menasihati sultan dalam urusan pentadbiran, pemulihan keamanan, memajukan ekonomi dan sistem cukai tetapi sedikit demi sedikit, residen telah mengambil alih kuasa sultan sebagai pemerintah negara. Akhirnya, sultan hanya diberi kuasa dalam adat resam dan agama. Pembesar-pembesar tempatan pula telah kehilangan kuasa mengutip cukai dan mereka hanya diberi jawatan dalam peringkat bawahan pentadbiran British. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam golongan pembesar tempatan dan golongan raja terhadap penjajah British yang mencapai kemuncaknya apabila residen Perak iaitu JWW Birch dibunuh di Pasir Salak.

Kesan seterusnya ialah ketidakseragaman pentadbiran yang wujud antara negeri-negeri melayu yang melaksanakan sistem residen. Antara masalah yang muncul akibat keadaan ini ialah pembangunan negeri-negeri melayu yang tidak seimbang. Akibat ketiadaan garis panduan yang jelas untuk diikuti oleh residen demi menjalankan tugasnya, mereka terpaksa bertugas mengikut budi bicara sendiri. Dengan ini, setiap negeri melayu di bawah sistem residen telah dikembangkan menurut cara yang berbeza dan terdapat negeir-negeri yang menikmati perkembangan ekonomi yang pesat seperti negeri Sembilan dan Selangor serta negeri seperti Pahang yang sentiasa dilanda masalah kewangan. Pembangunan yang tidak seimbang juga membawa kepada masalah keseragaman infrasturktur seperti landasan kereta api yang berbeza-beza serta jalan raya yang tidak dihubungkan antara negeri. Ketidakseragaman pentadbran ini juga membawa kepada perbezaan undang-undang antara negeri. Di Perak, residen pertama, iaitu JWW Birch telah mencampuri adat resam melayu dengan mengharamkan penghambaan. Walaupun tindakan beliau tidak diikuti oleh negeri-negeri melayu lain, penentangan yang dicetuskan di negeri Perak akan merebak ke negeri-negeri lain.

Selain daripada itu, kedatangan sistem residen juga menyebabkan campur tangan dalam adat resam tempatan. Pada peringkat asal, kuasa memungut cukai terletak dibawa pembesar melayu. Namun, setelah kedatangan sistem residen, maka kuasa memungut cukai telah dirampas daripada pembesar Melayu. Amalan hamba abdi pun telah dihapuskan oleh seorang residen di negeri Perak dan tindakan ini ditentang hebat oleh pembesar-pembesar tempatan. Residen juga campur tangan dalam sistem kehakiman dengan memiliki kuasa untuk melantik majistret. Dengan ini, sistem kehakiman tradisional yan terdiri daripada golongan pembesar dan ketua kampung sebagai hakim telah terjejas. Kedatangan sistem residen telah mencemari adat resam tempatan dengan pengaruh barat dan unsur-unsur residen-residen yang berbeza.

Pelaksanaan sistem residen juga menimbulkan pelbagai kesan terhadap ekonomi tempatan terutamanya terhadap jurang ekonomi antara kaum. Tumpuan British terhadap tanah Melayu ialah perlombongan bijih timah dan mereka telah bertindak untuk membawa masuk buruh asing, khursusnya buruh Cina untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah. Apabila tanaman komersil seperti getah diperkenalkan, mereka turut membawa buruh asing untuk mengusahakannya iaitu buruh India. Dengan ini, telah mewujudkan masyarakat majmuk dan dalam masa yang sama masyarakat tempatan iaitu orang Melayu telah diketepikan daripada kegiatan ekonomi moden. Mereka kekal dalam kegiatan ekonomi tradisional seperti pertanian padi dan perikanan. Dengan pelaksanaan sistem residen juga menyebabkan pertambahan penduduk di tanah melayu serta pembukaan Bandar-bandar baru. Antara tugas seorang residen ialah untuk membangunkan ekonomi. Demi mencapai tujuan ini mereka telah membawa masuk buruh asing dari China dan India. Bilangan pemodal cina juga bertambah akibat usaha-usaha residen mengembangkan ekonomi tanah melayu. Dalam usaha-usaha mereka mengeksploitasi bijih timah dan penanaman getah di tanah melayu, beberapa Bandar baru telah dibuka seperti kuala Kangsar, Taiping, Kamunting dan Kuala Lumpur.Dengan pembukaan Bandar-bandar baru, pelbagai usaha telah dilaksanakan demi membangunkan infrastruktur seperti jalan raya dan landasan kereta api antara Bandar-bandar tersebut. Pertambahan penduduk serta perkembangan infrastruktur yang berlaku di bawah sistem residen telah membawa kepada pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Sebagai yang ditugaskan kepada residen, mereka telah berjaya mewujudkan keamanan dalam negeri-negeri mereka. Di Perak, pelantikan seorang residen telah berjaya menamatkan perebutan takhta. Perang-perang kongsi gelap di negeri Sembilan juga diselesaikan oleh sistem residen. Pasukan polis telah dibawa masuk dari India demi menjamin keamanan dan tentera laut Britain telah bertanggungjawab mengawasi ancaman lanun di selat Melaka. Kapten Speedy, telah menambahkan pasukan polis di daerah Larut kepada 2500 orang on mengekalkan keamanan dan mencegah peperangan antara kongsi gelap cina. Perlaksanaan sistem residen di negeri-negeri melayu telah berjaya menjamin keamanan serta kestabilan politik atau sekurang-kurangnya memperbaiki situasi yang sedia ada.

Perlaksanaan sistem residen di negeri Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan mendatangkan pelbagai kesan yang baik dan buruk terhadap tanah melayu. Namun begitu, pelbagai kelemahan dalam sistem ini telah menyebabkan pihak British memperkenalkan system pentadbiran baru bagi memperbaiki kelemahan system residen dengan pengenalan kepada pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896.