Monday, April 12, 2010

Sejauh manakah dasar tidak campur tangan Inggeris di negeri-negeri Melayu dapat dipertahankan sehingga tahun 1874?

Sebelum tahun 1870, British telah menjalankan dasar tidak campur tangan di negeri-negeri Melayu. Hubungan British dengan negeri-negeri Melayu hanya tertumpu kepada aktiviti perdagangan sahaja. Pada ketika itu, British tidak mahu terlibat dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu kerana ingin menjaga hubungan dengan Siam dan menjaga kepentingan perdagangan British. Pada peringkat awal,British amat mematuhi dasar tidak campur tangan namun begitu secara realitinya, British telah melanggar dasar ini apabila kepentingan ekonomi mereka terancam.

Pada peringkat awalnya sememangnya British mempertahankan dasarnya untuk tidak campur tangan di negeri-negeri Melayu. Terdapat beberapa kes membuktikan keadaan ini. Kes Siam ke atas Kedah pada tahun 1821 merupakan salah satu contoh yang membuktikan keadaan ini. Siam menuduh Kedah berkomplot dengan Burma. Sultan Ahmad Tajuddin iaitu sultan Kedah meminta bantuan Inggeris di Pulau Pinang tetapi ditolak oleh Inggeris kerana ingin menjaga hubungan baik dengan Siam.

Dalam satu peristiwa yang lain, James Low telah menandatangani Persetiaan Low dengan Sultan Perak. Menurut perjanjian ini, SHTI berjanji akan memberi perlindungan ketenteraan kepada Perak sekiranya diancam oleh Siam dan Negeri-negeri Melayu. James Low juga telah melibatkan diri dalam kes memusnahkan pusat lanun di Sungai Kurau. Betapa seriousnya Inggeris dalam mematuhi dasar tidak campur tangan ini dapat dilihat apabila James Low digantung perkhidmatannya dan tidak dibenarkan aktif dalam politik di Negeri-negeri Melayu gara-gara tindakannya yang melanggari dasar tidak campur tangan Inggeris.

Kes Perang Linggi yang berlaku antara Yam Tuan Muda Rembau dengan Pembesar Linggi berlaku kerana persaingan merebut kawasan perlombongan bijih timah. Saudagar Inggeris meminta bantuan Inggeris bagi memulihkan keamanan agar kepentingan perdagangan mereka dilindungi. Malangnya permintaan mereka ditolak oleh Gabenor kerana berpegang teguh terhadap dasat tidak campur tangan Inggeris.

Pada tahun 1869, Raja Yusof dari Perak telah disingkirkan dari system giliran takhta telah meminta bantuan Inggeris untuk mendapatkan semula takhta kerajaan Perak tetapi ditolak oleh Inggeris.

Walaupun Inggeris cuba mengelak diri daripada terlibat peristiwa politik tempatan, tetapi tindakan tersebut tidak bertahan lama. Terdapat peristiwa-peristiwa yang memaksa Inggeris untuk campur tangan secara tidak langsung dalam hal ehwal negeri Melayu demi kepentingan ekonomi mereka sebelum tahun 1874.

Campur tangan Inggeris secara tidak langsung sebelum tahun 1874 mula kelihatan setelah tercetusnya Perang Naning. Perang Naning merupakan kesan Perjanjian Belanda 1824 di mana pihak Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris. Masalah tercetus apabila Gabenor NS iaitu Robert Fullerton melaksanakan undang-undang tanah, kehakiman, dan mengutip cukai di daerah Naning kerana menganggap Naning dibawah pentadbiran Inggeris. Masalah semakin rumit apabila Naning di desak oleh Inggeris untuk menghantar satu persepuluh daripada hasil tahunan ke Melaka dan menghalang Dol Said berkuasa di Naning. Dol Said tidak puas hati dengan tindakan pihak Inggeris kerana beliau berpendapat Naning merupakan sebuah negeri yang merdeka. Kerajaan British bimbang Dol Said akan mempengaruhi penduduk Naning supaya tidak membayar cukai. Pada tahun 1831 British telah menghantar angkatan perang ke Naning namun kalah kerana Dol Said dibantu oleh pembesar Yamtuan Ali Rembau, Syed Saaban, Datuk Kelana Sungai Ujung dan Penghulu Gemenceh. Taktik yang digunakan oleh Dol Said ialah serang hendap, menanam ranjau, dan menebang pokok kayu. Serangan kali ke 2 oleh inggeris telah mencapai kemenangan kerana Dol Said tidak mendapat bantuan daripada pembesar lain. Dol Said diberi pencen 100 rupee sebulan serta sebuah rumah di Melaka.

Pada tahun 1857 telah berlakunya perebutan takhta antara Bendahara Wan Mutahir dan Wan Ahmad di Pahang.perbalahan ini menyebabkan perang saudara. Wan Ahmad telah pergi ke Bangkok untuk meminta bantuan daripada Siam. Siam bersetuju dan menjadikan Terengganu sebagai pengkalan untuk menyerang Pahang. British amat bimbang dengan kehadiran Siam di Terengganu kerana ia boleh menggugat kepentingan British. Sultan Terengganu diberi amaran oleh British supaya tidak terlibat dengan pertikaian tersebut.British telah menyerang kubu pertahanan di Terengganu kerana perang saudara tersebut mengganggu aktiviti ekonomi saudagar British. Oleh itu, Inggeris berjaya menyekat perluasan pengaruh Siam di Pahang dan Terengganu serta menjamin kepentingan ekonomi British di negeri-negeri tersebut.

British juga menunjukkan campur tangan melalui Perjanjian Burney. Dasar perluasan kuasa Siam ke atas Kedah, Perak, dan Selangor telah mengheret pihak Inggeris campur tangan dalam politik di negeri-negeri tersebut. Raja Ligor bertindak menghantar tenteranya ke Perak kerana Perak enggan menghantar bunga emas ke Siam. Selangor pula dituduh bersubahat dengan Perak untuk menentang Siam. Robert Fullerton iaitu Gabenor NS menghantar wakil iaitu Kapten Henry Burney ke Ligor untuk berunding dengan Siam untuk melindungi kepentingan ekonomi Inggeris. Kapten Henry Burney telah menandatangani Persetiaan Awal dengan Raja Ligor pada 31 Julai 1825. Di dalam perjanjian tersebut Raja Ligor berjanji tidak menyerang Perak dan Selangor. Siam juga bersetuju tidak akan memaksa Perak untuk menghantar bunga emas sebagai ufti. Kedatangan Henry Burney ke Bangkok telah menyebabkan termeterainya Perjanjian Burney dengan Raja Siam.

Secara keseluruhannya, perkembangan ekonomi yang berlaku di Eropah mendorong pihak British mencari tanah jajahan yang diharapkan dapat membekalkan bahan mentah untuk keperluan kegiatan perindustrian di sana. Hal ini menyebabkan British campur tangan di negeri-negeri Melayu agar kepentingan mereka terus terjamin.