Monday, February 14, 2011

Huraikan struktur masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum tahun 1874.

Sebelum tahun 1874, struktur masyarakat Melayu adalah bercorak feudal. Secara umumnya, masyarakat Melayu dapat dibahagikan kepada dua golongan, iaitu golongan memerintah dan golongan yang diperintah. Walaupun golongan memerintah merupakan kumpulan yang kecil tetapi mempunyai pengaruh dan kuasa yang luas dalam masyarakat Melayu tradisional. Golongan ini terdiri daripada sultan atau raja, kerabat diraja, pembesar dan ulama. Manakala, golongan yang diperintah merupakan golongan yang sangat ramai dalam kalangan masyarakat Melayu. Mereka terdiri daripada rakyat biasa yang merdeka dan golongan hamba. Setiap golongan dalam masyarakat Melayu mempunyai peranan masing-masing.

Lapisan yang paling atas dalam struktur masyarakat Melayu ialah Sultan atau raja. Sultan merupakan pemerintah bagi setiap negeri dan mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat. Peranan sultan juga dapat dilihat dalam bidang ekonomi dan kehakiman. Sultan juga dikatakan mempunyai keistimewaan tertentu yang tidak ada pada rakyat biasa. Ini dapat dilihat dalam penggunaan bahasa istana, warna kuning dan alat-alat kebesaran raja yang hanya diperoleh oleh raja dan rakyat tidak ada hak untuk menggunakannya. Sultan juga dikatakan mempunyai kuasa daulat dan rakyat tidak boleh membantah kata-kata raja kerana ia akan dikatakan menderhaka terhadap sultan dan akan membawa bencana terkena tulah. Bagi mengesahkan kekuasaan seseorang raja, upacara pertabalan sultan akan dilaksanakan. Sultan yang mangkat akan digantikan dengan putera sulung atau adik lelaki sulung. Sultan juga menjadi lambang perpaduan dan keamanan negeri Melayu

Lapisan kedua dalam struktur masyarakat Melayu ialah kerabat diraja. Golongan ini mempunyai pertalian darah dengan sultan. Golongan ini biasanya menggunakan gelaran raja atau tengku. Kedudukan dan pengaruh golongan ini agak besar dalam masyarakat Melayu. Golongan ini juga mempuyai keistimewaan seperti raja bagaimanapun keistimewaan itu tidak boleh mengatasi sultan. Golongan ini juga sangat dihormati oleh rakyat jelata. Anak-anak raja akan diberikan peluang untuk menjawat jawatan penting dalam kerajaan, misal­nya akan memerintah daerah atau mukim tertentu. Bilangan kerabat diraja sangat ramai kerana amalan berpoligami oleh sultan. Walau bagaimanapun, anak daripada permaisuri pertama akan mendapat tempat yang istimewa, terutama dalam pelantikan sebagai putera mahkota atau raja muda.

Golongan pembesar mempunyai kedudukan yang ketiga dalam struktur masyarakat Melayu sebelum tahun 1874 di Tanah Melayu. Mereka ini juga dikenali sebagai keturunan baik-baik. Mereka terdiri daripada dua golongan iaitu kerabat diraja dan bukan kerabat diraja. Biasanya golongan bukan kerabat diraja mendapat jawatan pembesar kerana mempunyai kebolehan mentadbir dan berjasa kepada kerajaan. Tugas golongan pembesar ialah menjaga keamanan dan memungut cukai di kawasan atau daerah masing-masing. Pembesar juga mempunyai kuasa kehakiman seperti menjatuhkan hukuman terhadap pesalah. Pembesarlah orang yang bertanggungjawab untuk mengekalkan taat setia rakyat terhadap sultan dengan cara melaksanakan sistem kerah dan serah

Terdapat golongan pembesar yang bertugas di luar istana iaitu penghulu dan ulama. Tugas penghulu sebenarnya menjaga keamanan, membekalkan tenaga buruh, mengutip cukai dan memastikan rakyat sentiasa taat setia kepada raja. Manakala ulama merupakan golongan cerdik pandai dalam bidang agama Islam. Biasanya golongan ini akan memegang jawatan seperti kadi, mufti, imam, khatib dan guru agama. Golongan inilah yang memainkan peranan penting sebagai penasihat kepada sultan terutamanya berkaitan dengan agama Islam. Para ulama biasanya berketurunan Arab yang berasal dari Pulau Jawa, India dan Asia Barat. Biasanya mereka bergelar maulana, kadi dan makhdum

Golongan yang seterusnya dalam struktur masyarakat Melayu ialah golongan merdeka.

Mereka ini terdiri daripada rakyat biasa dan orang asing. Rakyat biasa merupakan penduduk pribumi yang menetap di negeri-negeri tertentu. Mereka biasanya menjalankan kehidupan dengan menjalankan aktiviti berniaga, menangkap ikan, melombong, tukang mahir dan sebagainya. Rakyat biasa merupakan poengikut yang taat setia kepada pembesar yang mentadbir daerah mereka. Mereka akan menjalankan apa sahaja kehendak golongan pembesar daerah misalnya dalam sistem kerah dan serah

Golongan merdeka yang kedua ialah orang asing. Merka ini tinggal sementara di Tanah Melayu dan akan kembali ke negeri asal mereka. Mereka merupakan golongan pedagang, perantau, mubaligh dan santeri serta orang asing yang datang ke Tanah Melayu sebagai tentera upahan. Dalam keadaan tertentu, ada di antara mereka berkahwin dengan penduduk tempatan dan menetap di Tanah Melayu. Masyarakat Tamil-Islam merupakan kumpulan orang asing yang paling ramai di Tanah Melayu. Golongan orang asing tidak wajib mematuhi tradisi dan kebudayaan tempatan Melayu tetapi mereka mestilah mematuhi undang-undang masyarakat Melayu.

Golongan yang menduduki lapisan paling bawah dalam struktur masyarakat Melayu sebelum tahun 1874 ialah hamba. Dalam masyarakat Melayu terdapat tiga golongan hamba iaitu hamba biasa, hamba berhutang dan hamba raja. Golongan hamba biasa merupakan orang suruhan atau keturunan hamba. Biasanya mereka ini diperdagangkan dan menjadi hamba seumur hidup malahan seluruh keluarganya menjadi hamba kepada tuannya. Manakala hamba ber­hutang merupakan orang biasa yang menjadi hamba kerana gagal membayar hutang. Jika seseorang itu ditangkap kerana mencuri dan gagal membayar harga barangan yang dicuri, orang tersebut akan dijadikan hamba. Golongan ini akan bebas setelah nilai hutangnya dilangsaikan setelah bekerja dengan tuannya. Biasanya kerja yang mereka lakukan ialah bertani dan melombong. Selian itu, hamba raja merupakan golongan merdeka yang telah melakukan kesalahan jenayah dan diampunkan oleh sultan. Sesetengah hamba raja merupakan tawanan perang bagaimanapun kedudukan golongan hamba raja dianggap paling tinggi dikalangan golongan hamba. Hamba raja akan menjadi hamba secara tutun temurun

Kesimpulannya, struktur masyarakat Melayu sebelum tahun 1874 sememangnya sistematik; daripada golongan memerintah sehinggalah kepada golongan yang di­perintah. Setiap golongan dalam struktur masyarakat Melayu mempunyai tugas dan peranan masing-masing. Namun, setelah campur tangan British dalam sistem politik negeri-negeri Melayu, struktur masyarakat Melayu telah mengalami perubahan yang ketara. Hal ini kerana peranan golongan pembesar dan hamba telah mula dihapuskan oleh penjajah British.