Tuesday, July 12, 2011

Terangkan faktor-faktor penentangan masyarakat Melayu di negeri Pahang terhadap dasar pentadbiran British pada abad ke-19.

J.P Rodger mula dilantik sebagai residen pertama di Pahang pada bulan Oktober 1888 dan dibantu oleh Hugh Clifford sebagai penolong residen. Sebaik sahaja J.P Rodger dilantik menjadi residen, beliau telah banyak membuat perubahan-perubahan yang drastic yang dilakukan secara terburu-buru. Peraturan baru yang diperkenalkan ini sebenarnya telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan penduduk Pahang. Pengenalan sistem yang baru ini ditentang Datuk Bahaman. Beliau dibantu oleh Tok Gajah serta anaknya Mat Kilau

Pengenalan sistem residen telah membawa kepada penguasaan ekonomi Pahang oleh pihak British terutamanya dalam sector perlombongan. Tugas residen sepatutnya berusaha melindungi kepentingan orang tempatan terutamanya pembesar Melayu dalam usaha membawa pembangunan ekonomi. Walau bagaimanapun Inggeris telah mengabaikannya dan ini telah membawa perasaan tidak puas hati dikalangan pembesar Melayu Pahang.

Pengenalan sistem residen juga telah membawa kepada kehilangan kuasa oleh Sultan Pahang. Ini berikutan daripada penubuhan Majlis Mesyuarat Negeri kerana sultan hanya mempunyai kuasa pada “nama” sahaja dalam Majlis tersebut. Segala keputusan yang dibuat ditentukan oleh Residen British. Sebagai contoh pembayaran ganti rugi kepada pembesar yang kehilangan sumber pendapatan ditentukan oleh Residen

Perubahan-perubahan dari segi perundangan yang dibuat oleh Residen, nyata sekali bertentangan dengan sistem yang sedia wujud pada ketika itu. Undang-undang baru yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri pada 31 Desembar 1889, nyata sekali mencabar kewibawaan pembesar-pembesar Melayu. Antara undang-undang berkaitan dengan tanah, penghapusan sistem kerah dan hamba abdi telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan pembesar. Malah pembesar yang satu ketika dahulu mempunyai kuasa menghakimi kes-kes jenayah dan sivil di kawasan masing-masing telah diambil alih oleh pihak Britsh.

Perubahan yang dibawa British juga menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat. Dasar British membawa masuk pelombong Cina dan Eropah telah menimbulkan perasaan tidak senang hati dikalangan rakyat. Mereka ini didapati sombong dan bongkak dan tidak menghormati adat istiadat orang Melayu. Sebagai contoh, rakyat tidak dibenarkan memakai keris yang selama ini merupakan pakaian tradisional mereka.

Pembesar-pembesar telah kehilangan hak mereka sebagai pemungut cukai dan pentadbir keadilan. Hal ini menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan dan jawatan yang dinikmati secara turun-temurun. Daerah-daerah diwujudkan dan diletakkan di bawah pegawai-pegawai Inggeris yang dipanggil pemungut cukai dan majistret.

Pelbagai jenis cukai diperkenalkan dan dinaikkan oleh British. Contohnya, cukai tanah seperti tanah kampung, tanah paya, dusun dan tanah nipah dengan kadar 40 sen seekar. Sistem lesen dan permit yang diperkenalkan oleh J.P. Rodger menjejaskan semua aspek kehidupan rakyat. Mengikut sistem lesen dan permit, rakyat ter­paksa mendapatkan lesen untuk memungut hasil hutan dan mencari atap nipah untuk mendirikan rumah yang dahulunya dipungut secara percuma.

Sebagai kesimpulannya, perasaan tidak puas hati dengan pelaksanaan sistem residen ini membawa kepada beberapa siri peperangan antara pihak British dengan masyarakat Pahang. Walaupun penentangan ini bercorak setempat, namun ia telah member kesedaran tantang hak yang patut dituntut dalam menegakkan sistem yang pernah wujud itu. Walaubagaimanapun British Berjaya menumpaskan penentangan tersebut kerana memiliki senjata yang lebih baik. Dengan ini British telah mengukuhkan kekuasaannya di negeri Pahang