Tuesday, July 21, 2009

Bincangkan reaksi orang Melayu di Perak terhadap Sistem Residen pada tahun 1874 hingga 1875.

Melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada tahun 1874, Sultan Abdullah telah dilantik oleh British menjadi Sultan Perak. Berdasarkan perjanjian ini jelas dinyatakan bidang tugas serta peranan sultan dan residen. Baginda juga bersetuju bahawa seorang Residen British harus ditempatkan di Negeri Perak. Dalam hubungan ini sultan seharusnya mempunyai bidang kuasa dalam semua segi dan residen hanya berperanan sebagai penasihat dalam bidang politik sahaja. Hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat diberikan sepenuh kuasa ke atas sultan. Residen pertama di Perak ialah J.W.W. Birch. Beliau telah banyak membawa perubahan yang bukan sahaja dalam soal politik, malah meliabtkan juga soal adat yang sepatutnya tidak perlu dilakukan oleh beliau. Atas sebab inilah mengapa beliau ditentang dengan hebatnya oleh orang Melayu Perak sehingga menyebabkan Birch dibunuh di Pasir Salak.

Perbezaan sudut pandangan oleh Birch dan orang Melayu telah membawa malapetaka kepada beliau. Birch telah campur tangan dalam adat resam orang Melayu Perak. Bagi British, adat merupakan perkara biasa yang tidak dianggap undang-undang, tetapi bagi orang Melayu, adat merangkumi keseluruhan cara hidup. Dengan kejahilan ini, Birch telah melakukan perubahan dalam beberapa perkara yang dianggap sebagai adat bagi orang Melayu Perak, tetapi sebagai hal-hal pentadbiran dan kenegaraan kepada British.

Perlantikan Sultan Abdullah oleh British sebenarnya tidak disenangi oleh pembesar-pembesar Melayu. British telah campur tangan dalam sistem penggantian Sultan di Perak. Berdasarkan adat Melayu, seseorang Sultan mesti dipilih oleh pembesar-pembesar Melayu, tetapi Sultan Abdullah telah dilantik oleh British. lni bermakna, pelantikan Sultan Abdullah adalah tidak sah daripada kaca mata pembesar Melayu Perak. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa masalah pewarisan takhta Negeri Perak tidak dapat diselesaikan.

British juga telah campur tangan dalam urusan pungutan cukai dan mewujudkan satu khazanah pusat yang akan dikelolakan oleh orang British sendiri. lni secara langsung telah menghalang Sultan dan pembesar daripada memungut cukai. Mengikut adat Melayu, mereka berhak ke atas pungutan cukai di daerah mereka sendiri kerana cukai merupakan sumber pendapatan utama mereka.

Birch juga telah melarang penyimpanan hamba. Bagi masyarakat Melayu tradisonal, tenaga hamba merupakan sumber ekonomi kepada Sultan dan pembesar. Jumlah hamba seseorang Sultan dan pembesar mencerminkan kedudukan sosial dan martabat mereka. Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa Birch telah melanggar syarat-syarat Perjanjian Pangkor.

Sultan dan pembesar juga dilarang menghakimi kes-kes jenayah di kawasan mereka. Semua ini akan dijalankan oleh British di mahkamah-mahkamah tertentu. ini juga satu langkah yang telah melanggar syarat Perjanjian Pangkor kerana hak kehakiman adalah hak Sultan dan pembesar.
Banyak perkara baru telah diperkenalkan oleh British. Hal ini telah membebankan masyarakat Melayu. Berbagai-bagai jenis cukai dikenakan. Contohnya. cukai ke atas perahu penumpang dan perahu dagang. Perahu yang boleh memuatkan tiga orang dikenakan cukai sebanyak 50 sen. Perahu penangkapan ikan sebanyak 50 sen dan perahu dagang sebanyak seringgit. Orang yang melanggar peraturan ini akan dikenakan denda sebanyak 20 ringgit dan perahu mereka akan dirampas.

Padi juga dikenakan cukai baru. Hak membawa senjata juga dikenakan bayaran lesen. Begitu juga dengan aktiviti memotong kayu dan atap, candu, judi, dan arak. Undang-undang Awam telah diperkenalkan untuk menguatkuasakan peraturan-peraturan tensebut.

Birch telah membatalkan pajakan Sultan Abdullah kepada saudagar Lee Cheng Tee. Kemudiannya, Birch mengenakan cukai ke atas minuman keras dan candu kepada Lee Cheng Tee dan rakan-rakannya.

Dalam keadaan yang tegang ini, Birch telah bertindak kasar terhadap Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar lain. Birch tidak peka terhadap kehendak dan perasaan masyarakat Melayu Perak. Beliau tidak menghormati adat Melayu dan ada kalanya telah bertindak biadap. Sultan Abdullah dipaksa dan diugut supaya menandatangani surat pengisytiharan penyerahan kuasa kepada Residen pada tahun 1875. Sekiranya Sultan Abdullah enggan, baginda akan digantikan dengan Raja Yusof. ini jelas telah mencabar kedaulatan dan kewibawaan Sultan. Selain itu, Sultan Abdullah pernah dimarahi oleh Birch apabila baginda ke rumah Birch untuk menuntut hamba abdinya yang telah melarikan diri. Rayuan pembayaran ganti rugi juga telah ditolak oleh Birch.

Menteri Larut, iaitu Ngah Ibrahim juga berasa kecewa. Beliau tidak boleh bertindak bebas kerana berada di bawah kawalan Penolong Residen, iaitu Kapten Speedy.

Sistem Residen di Perak gagal dan ditentang dengan hebatnya oleh orang Melayu. Kedudukan, kewibawaan, dan kebesaran Sultan dan pembesar turut terjejas. Ini diburukkan lagi oleh sikap Birch yang kasar dan biadap. Kemuncak penentangan terhadap Sistem Residen ialah pembunuhan Birch di Pasir Salak.