Tuesday, August 31, 2010

Bincangkan factor-faktor perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada kurun ke 19 dan awal abad ke-20

Perusahaan getah di Tanah Melayu mengalami perkembangan yang pesat pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pada mulanya getah banyak ditanam di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Kesan daripada kejatuhan harga kopi telah menyebabkan ramai yang beralih kepada penanaman getah. Permintaan yang begitu tinggi terhadap getah telah menyebabkan ramai pelabur-pelabur Eropah melibatkan diri secara besar-besaran dalam perusahaan ini.

Terdapat banyak factor yang telah menyumbang kepada perkembangan perusahaan getah. Seperti yang dinyatakan sebelum ini iaitu kejatuhan harga getah telah menyebabkan penduduk Tanah Melayu beralih kepada penanaman ini. Kejatuhan harga getah ini disebabkan berlakunya lebihan keluaran di pasaran. Keadaan bertambah buruk lagi apabila pokok-pokok kopi diserang pelbagai penyakit yang memerlukan perbelanjaan tambahan untuk mengatasinya. Masalah-masalah yang timbul ini menyebabkan mereka tidak berminat lagi untuk mengusahakan tanaman kopi.

Selain itu usaha H.N Ridley dalam memajukan tanaman ini tidak boleh dipandang rendah. Beliau selaku Pengarah Botanical Garden Singapura telah menjalankan kempen penanaman getah di seluruh Tanah Melayu ketika itu. Selain daripada berkempen, beliau juga telah berusaha bagi memanjangkan jangka hayat pokok getah dengan memperkenalkan kaedah torehan yang betul yang dinamakan sebagai sistem torehan haring. Anak-anak pokok getah yang hendak dibawa ke ladang-ladang dibungkus dengan arang yang lembab bagi memastikan anak-anak getah ini tidak mati atau rosak dalam perjalanan. Hasil usaha beliau ini ternyata berhasil apabila getah menjadi tanaman penting pada abad ke 19 dan awal abad ke-20

Kesan daripada Revolusi Perindustrian telah membawa kepada penciptaan jentera-jentera moden seperti kereta berenjin dan tayar berangin yang memerlukan getah sebagai sebahagian bahan mentah dalam pembuatan barangan tersebut. Pendawaian elektrik yang menggunakan getah sebagai bahan penebat juga memberi kesan kepada peningkatan terhadap getah. Permintaan yang tinggi ini menyebabkan harga getah meningkat naik. Keadaan ini menyebabkan pelabur Eropah mula membuka ladang-ladang di Tanah Melayu bagi meningkatkan keluaran.

Perkembangan perusahaan getah ini telah membawa kepada kemasukkan buruh dari India untuk mengusahakan tanaman ini. Mereka dibawa masuk oleh kerajaan British melalui sistem kontrak dan sistem kangani. Buruh-buruh ini digunakan kerana penduduk tempatan tidak berminat menjalankan aktiviti ini lagipun bayaran untuk tenaga buruh India ini murah. Kemasukkan tenaga buruh ini telah menyebabkan terbentuknya masyarakat majmuk di Tanah Melayu

Kerajaan British juga telah memberi galakkan untuk memperkembangkan perusahaan ini. Galakkan ini diberi dalam bentuk cukai dan duti ke atas tanah yang rendah. Kerajaan British juga telah menubuhkan Jabatan Pertanian pada tahun 1905 bagi membuat penyelidikan tentang jenis-jenis pisau yang sesuai dan masa yang elok untuk melakukan torehan. Selain itu Jabatan ini telah mencadangkan jarak yang sesuai untuk penanaman getah dan tanaman penutup bumi yang boleh ditanam diantara pokok-pokok getah. Sesungguhnya galakan dan kajian ini telah menarik minat mereka untuk beralih kepada tanaman getah.

Perkembangan pesat penanaman getah di Tanah Melayu juga disebabkan oleh kedatangan pelabur-pelabur Eropah untuk membuka ladang-ladang getah baru. Pelabur-pelabur ini mengusahakan tanaman getah ini secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Guthrie dan Dunlop. Hasil daripada perkembangan ini, pengeluaran getah telah meningkat dan Tanah MElayu telah muncul sebegai pengeluar getah asli utama di dunia

Pada tahun 1926, kerajaan British telah menubuhkan Institut Penyelidikan Getah. Hasil daripada penubuhan ini, Institut ini telah Berjaya menghasilkan cara penanaman getah yang baik dengan memperkenalkan klon-klon getah bermutu tinggi. Selain itu penggunaan baja kimia juga diperkenalkan. Teknik memekatkan susu getah, kawalan penyakit dan penggunaan racun telah ternyata member sumbangan yang besar dalam memajukan serta meningkatkan industry tanaman getah di Tanah Melayu.

Kesimpulannya, perkembangan ekonomi Tanah Melayu sebenarnya seiring dengan perkembagan perusahaan getah. Walau bagaimanapun menjelang lewat 1920-an ekonomi Tanah Melayu telah merundum kesan daripada kemelesetan terhadap perusahaan getah. Amerika Syarikat telah mengurangkan penggunaan getah akibat kemelesetan ini. Berikutan itu, kerajaan British telah mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk menstabilkan harga getah.