Saturday, May 22, 2010

Mengapakah berlaku kekacauan dengan meluasnya di Perak dan Selangor pada tahun 1860-an dan 1870-an.

Pengenalan

Perak dan Selangor merupakan dua buah negeri yang kaya dengan bahan mentahnya iaitu bijih timah. Peningkatan kegiatan ekonomi ini telah membawa masuk buruh Cina ke Tanah Melayu. Namun menjelang pertengahan abad ke 19 keadaan politik di kedua-dua buah negeri ini mula tidak stabil disebabkan berlakunya huru-hara dan kekacauan yang melibatkan para pembesar, kerabat diraja dan juga masyarakat Cina. Kekacauan ini berlaku disebabkan oleh factor politik, ekonomi dan social.

Isi

Di Perak, kekacauan berlaku disebabkan berlakunya perebutan kuasa dikalangan kerabat diraja. Masalah perebutan takhta di Perak berlaku kerana tidak ada sistem penggantian sultan secara automatik atau warisan. Ini kerana Perak mengamalkan sistem giliran yang meliputi tiga keluarga diraja.

Menurut sistem ini, seseorang bakal sultan sepatutnya memegang jawatan Raja Di Hilir, Raja Bendahara dan Raja Muda sebelum menjadi sultan. Masalah tercetus apabila sistem giliran ini tidak diikuti dengan betul. Terdapat pembesar yang berpengaruh sering campur tangan dalam soal perlantikan sultan. Oleh itu terdapat pengganti sultan yang diketepikan tanpa alasan yang munasabah. Keadaan ini berlaku antara Raja Yusuf, Raja Ismail dan Raja Abdullah

Kekacauan menjadi semakin rumit apabila melibatkan pula kumpulan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin. Pergaduhan berpunca daripada sikap tamak untuk menguasai kawasan perlombongan bijih timah di Kemunting dan Taiping. Masalah bertambah runcing apabila kedua-dua kongsi gelap ini terlibat dalam pertelingkahan merebut takhta kerajaan. Puak Hai San menyebelahi Raja Ismail dan Ngah Ibrahim, sementara puak Ghee Hin memihak kepada Raja Abdullah. Sesungguhnya persengketaan antara pembesar dan kongsi gelap ini menjejaskan aktiviti perlombongan dan menggangu perdagangan di negeri-negeri Selat.

Kekacauan di negeri Selangor pula memperlihatkan trend yang hampir serupa berlaku di negeri Perak. Perang saudara ini berlaku kerana perebutan kawasan perlombongan bijih timah antara Raja Mahdi dengan Raja Abdullah. Sultan Muhammad Syah telah menyerahkan daerah Kelang kepada putera sulungnya iaitu Raja Sulaiman. Raja Sulaiman tidak memajukan daerah tersebut. Apabila Raja Sulaiman mangkat pada tahun 1850, Sultan Muhammad telah menyerahkan kuasa memerintah daerah Klang kepada menantunya, Raja Abdullah kerana jasanya menolong sultan menyelesaikan hutang dengan saudagar-saudagar Melaka.

Raja Abdullah telah memajukan Klang dengan menjemput pelombong Cina. Akhirnya Klang menjadi kawasan perlombongan bijih timah yang kaya.

Tindakan Sultan Muhammad menimbulkan bantahan dan rasa tidak puas hati putera Raja Sulaiman iaitu Raja Mahdi. Raja Mahdi berpendapat baginda lebih berhak mewarisi daerah Klang. Raja Mahdi berjaya mengusir Raja Abdullah dan menguasai daerah Kelang. Bagaimanapun perjuagan Raja Abdullah telah diteruskan oleh anaknya Raja Ismail apabila Raja Abdullah mangkat. Raja Ismail berjaya menguasai kawasan hilir Kelang. Sultan Abdul Samad yang memerintah ketika itu telah melantik Tengku Kudin bagi menyelesaikan masalah antara Raja Mahdi dan Raja Ismail. Bagaimanapun Raja Mahdi enggan enggan mengakui Tengku Kudin sebagai wizurai kerana Tengku Kudin bukan kerabat diraja Selangor. Kedua-dua pihak mencari sekutu masing-masing. Bagi Tengku Kudin dan Raja Ismail, mereka mendapat bantuan dan sokongan daripada Yap Ah Loi dan Fui Chew (Hai San). Selain itu mereka juga mendapat bantuan kewangan daripada saudagar Cina di Melaka. Malah Tengku Kudin juga telah meminjam wang daripada tokoh-tokoh kewangan Singapura.Raja Mahdi pula mendapat sokongan drp Maharaja Abu Bakar dan kongsi Gelap Ghee Hin.

Perang Klang bertambah rumit dengan adanya pertelingkahan antara dua kumpulan pelombong Cina di Selangor iaitu puak Kah Yeng Chew merupakan ahli kongsi gelap Ghee Hin yang berpusat di Kancing dan puak Fei Chew merupakan ahli kongsi gelap Hai San berpusat di Kuala Lumpur. Pelombong-pelombong di Kancing diketuai oleh kapitan Ah Sze dan di Kuala Lumpur diketuai oleh Kapitan Yap Ah Loy

Pertelingkahan bermula pada tahun 1869, apabila wakil Yap Ah Loi di Kancing dibunuh oleh puak Kah Yew Chew yang diketuai oleh Chong Chong. Yap Ah Loi berjaya mengusir Chong Chong dari Kancing dgn bantuan pengikutnya. Chong Chong melarikan diri ke Rawang dan bersatu dengan Raja Mahdi dalam Perang Klang

Pada tahun 1872, Chong Chong membantu Raja Mahdi dan berjaya menawan Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Klang dan Petaling. Yap Ah Loy memihak kepada Tengku Kudin dan mendapat bantuan Inggeris.

Pada tahun 1873, Tengku Kudin berjaya menawan semula Kuala Lumpur dengan bantuan Yap Ah Loy dan pengikut-pengikutnya. Sebagai membalas jasa Tengku Kudin telah melantik semula Yap Ah Loy sebagai kapitan Cina di Kuala Lumpur.

Kesimpulannya kekacauan yang berlaku di Perak dan Selangor menjadi penyebab utama campur tangan Inggeris di Tanah Melayu. Ini disebabkan desakan oleh saudagar-saudagar Negeri Selat supaya memulihkan keamanan agar kegiatan perdagangan dan pelaburan Inggeris tidak terjejas. Keadaan ini membawa kepada Perjanjian Pangkor yang menandakan bermulanya campur tangan Inggeris di Negeri Melayu dan memperkenalkan pula system pentadbiran Barat.

No comments:

Post a Comment