Saturday, October 2, 2010

Nilaikan kepentingan Hukum Kanun Melaka sebagai panduan yang lengkap dalam menjalankan pemerintahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Hukum Kanun Melaka juga dikenali sebagai Undang-undang Darat Melaka dan Risalat Hukum Kanun (dalam bahasa arab). Ia juga merupakan dokumen yang digubal sebagai panduan bagi seseorang pemerintah dalam menjalankan pemerintahan. Hukum Kanun Melaka merupakan undang-undang tradisional tertua di negara ini. Ia berasal daripada hukum yang dibuat oleh raja Iskandar Dzulkarnain dan kemudiannya diwarisi pemerintah Melaka pada abad ke-15. Undang-undang ini sungguh penting kerana menjadi panduan dalam menjalankan pemerintahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Hukum Kanun Melaka dapat mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam negara serta menjamin keselamatan rakyat. Dengan itu, perilaku jenayah di dalam negeri melaka dapat diatasi dengan baik dan terurus.Hal ini demikian kerana setiap jenayah akan dikenakan hukuman yang setimpal.sebagai contoh kesalahan membunuh akan dibalas dengan hukuman bunuh. Ini sudah tentu akan menjadi peringatan dan rakyat takut melakukan jenayah. sekaligus negara akan aman serta keselamatan rakyat lain terpelihara.

Selain itu, Hukum Kanun Melaka penting sumber rujukan bagi menentukan hukuman bagi kesalahan tertentu. dengan ini hukuman dapat dijatuhkan dengan seadil-adilnya dan mengikut undang-undang negara. tidak akan berlaku fenomena "main hakim sendiri" dalam kalangan masyarakat kerana Hukum Kanun Melaka sudah memaktubkan semua peruntukan yang berkenaan. Sebagai contohnya, dalam Hukum Kanun Melaka mengandungi hukuman awam atau undang-undang awam menyentuh perkara-perkara seperti hutang, penyewaan tanah, harta dan hamba. Selain itu, terdapat juga hukuman untuk perbuatan jenayah meliputi perbuatan membunuh dan menikam orang, menetak dan memukul, merampas dan mencuri, tidak menurut perintah raja dan menderhaka serta tuduh-menuduh. Peruntukan hukuman yang lengkap dalam hukum kanun melaka ini sesungguhnya telah menjadi panduan yang sempurna dalam menjalankan pemerintahan kerajaan.

Pentingnya Hukum Kanun Melaka juga terletak pada peranannya sebagai menentukan pembahagian tugas, peranan serta struktur pemerintahan. Dalam undang-undang tersebut, terkandung satu adat yang digelar Adat Lembaga yang di dalamnya mengkanunkan satu sistem pentadbiran dan pemerintahan yang teratur. Adat tersebut menerangkan tentang adat-adat raja dan larangannya, perihal peranan bendahara, temenggung, penghulu bendahari dan syahbandar dalam membantu raja. Hal ini dapat melancarkan pentadbiran, memudahkan urusan tertentu kerana berlaku pengkhususan yang sudah pastinya meningkatkan mutu dan produktiviti. Maka nyatalah, Hukum Kanun Melaka dapat menjadi panduan dalam menjalankan pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Di samping itu, kepentingan Hukum Kanun Melaka turut terserlah bagi mempertahankan sistem sosial. Ini turut dapat membezakan keistimewaan golongan raja dengan rakyat jelata. Walaupun golongan pemerintah amat berbeza dan jauh jurangnya dengan golongan yang diperintah, hak masing-masing sentiasa terpelihara. Raja berada pada hierarki tertinggi dalam struktur pemerintahan negeri, maka baginda menduduki tempat yang istimewa dalam masyarakat Melayu tradisional. Taraf seseorang raja ternyata berbeza berbanding dengan golongan rakyat samada dari segi kedudukan, pakaian, peralatan, atau pertuturan. bagi memastikan perbezaan antara raja dengan golongan rakyat biasa berkekalan, maka diadakan pelbagai peraturan dan larangan tertentu ke atas rakyat supaya wujud jurang antara pemerintah dengan rakyat, justeru memperkukuh kedudukan raja. Misalnya, raja sahaja yang berhak memakai pakaian kuning, payung kuning, pakaian nipis, keris berhulu emas. Rakyat dilarang menggunakan barang-barang tersebut kecuali dianugerahkan oleh raja. Walau bagaimanapun, kedudukan hamba terpelihara. Buktinya, sebahagian daripada peruntukan yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka menjelaskan tentang undang-undang perhambaan. Undang-undang ini memperakukan kedudukan hamba abdi, iaitu hamba abdi tidak diibaratkan seperti barang, tetapi mempunyai hak yang tertentu. Tegasnya, Hukum Kanun Melaka mengukuhkan institusi beraja di Melaka, mempertahankan sistem sosial yang adil. Peruntukan yang telah termaktub ini sebenarnya menjadi panduan bagi menjalankan pemerintahan baik melibatkan golongan bangsawan, rakyat jelata mahupun hamba.

Kesimpulannya, Hukum Kanun Melaka penting bagi melancarkan pemerintahan negeri. Undang-undang ini yang awalnya dipengaruhi oleh agama Hindu, diresapi unsur agama Islam yang ketara pada akhirnya. Hukum-hukum syarak ini meresap secara beransur-ansur. Sesungguhnya, undang-undang ini sungguh lengkap, menyentuh pelbagai perkara berkaitan dengan adat lembaga dan tanggungjawab pembesar, hukuman awam dan perbuatan jenayah serta perkara-perkara berkaitan dengan pertanian, perhambaan, dan kekeluargaan.

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. I like it. It help me to do my school work.๐Ÿ‘๐Ÿ‘๐Ÿ‘

    ReplyDelete
  3. Great essay, it help me do my schoolwork... Thank you๐Ÿ‘๐Ÿ‘Œ

    ReplyDelete
  4. Nice work. Its very helpful for me.

    ReplyDelete