Showing posts with label Tema 1. Show all posts
Showing posts with label Tema 1. Show all posts

Monday, February 14, 2011

Huraikan struktur masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum tahun 1874.

Sebelum tahun 1874, struktur masyarakat Melayu adalah bercorak feudal. Secara umumnya, masyarakat Melayu dapat dibahagikan kepada dua golongan, iaitu golongan memerintah dan golongan yang diperintah. Walaupun golongan memerintah merupakan kumpulan yang kecil tetapi mempunyai pengaruh dan kuasa yang luas dalam masyarakat Melayu tradisional. Golongan ini terdiri daripada sultan atau raja, kerabat diraja, pembesar dan ulama. Manakala, golongan yang diperintah merupakan golongan yang sangat ramai dalam kalangan masyarakat Melayu. Mereka terdiri daripada rakyat biasa yang merdeka dan golongan hamba. Setiap golongan dalam masyarakat Melayu mempunyai peranan masing-masing.

Lapisan yang paling atas dalam struktur masyarakat Melayu ialah Sultan atau raja. Sultan merupakan pemerintah bagi setiap negeri dan mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat. Peranan sultan juga dapat dilihat dalam bidang ekonomi dan kehakiman. Sultan juga dikatakan mempunyai keistimewaan tertentu yang tidak ada pada rakyat biasa. Ini dapat dilihat dalam penggunaan bahasa istana, warna kuning dan alat-alat kebesaran raja yang hanya diperoleh oleh raja dan rakyat tidak ada hak untuk menggunakannya. Sultan juga dikatakan mempunyai kuasa daulat dan rakyat tidak boleh membantah kata-kata raja kerana ia akan dikatakan menderhaka terhadap sultan dan akan membawa bencana terkena tulah. Bagi mengesahkan kekuasaan seseorang raja, upacara pertabalan sultan akan dilaksanakan. Sultan yang mangkat akan digantikan dengan putera sulung atau adik lelaki sulung. Sultan juga menjadi lambang perpaduan dan keamanan negeri Melayu

Lapisan kedua dalam struktur masyarakat Melayu ialah kerabat diraja. Golongan ini mempunyai pertalian darah dengan sultan. Golongan ini biasanya menggunakan gelaran raja atau tengku. Kedudukan dan pengaruh golongan ini agak besar dalam masyarakat Melayu. Golongan ini juga mempuyai keistimewaan seperti raja bagaimanapun keistimewaan itu tidak boleh mengatasi sultan. Golongan ini juga sangat dihormati oleh rakyat jelata. Anak-anak raja akan diberikan peluang untuk menjawat jawatan penting dalam kerajaan, misal­nya akan memerintah daerah atau mukim tertentu. Bilangan kerabat diraja sangat ramai kerana amalan berpoligami oleh sultan. Walau bagaimanapun, anak daripada permaisuri pertama akan mendapat tempat yang istimewa, terutama dalam pelantikan sebagai putera mahkota atau raja muda.

Golongan pembesar mempunyai kedudukan yang ketiga dalam struktur masyarakat Melayu sebelum tahun 1874 di Tanah Melayu. Mereka ini juga dikenali sebagai keturunan baik-baik. Mereka terdiri daripada dua golongan iaitu kerabat diraja dan bukan kerabat diraja. Biasanya golongan bukan kerabat diraja mendapat jawatan pembesar kerana mempunyai kebolehan mentadbir dan berjasa kepada kerajaan. Tugas golongan pembesar ialah menjaga keamanan dan memungut cukai di kawasan atau daerah masing-masing. Pembesar juga mempunyai kuasa kehakiman seperti menjatuhkan hukuman terhadap pesalah. Pembesarlah orang yang bertanggungjawab untuk mengekalkan taat setia rakyat terhadap sultan dengan cara melaksanakan sistem kerah dan serah

Terdapat golongan pembesar yang bertugas di luar istana iaitu penghulu dan ulama. Tugas penghulu sebenarnya menjaga keamanan, membekalkan tenaga buruh, mengutip cukai dan memastikan rakyat sentiasa taat setia kepada raja. Manakala ulama merupakan golongan cerdik pandai dalam bidang agama Islam. Biasanya golongan ini akan memegang jawatan seperti kadi, mufti, imam, khatib dan guru agama. Golongan inilah yang memainkan peranan penting sebagai penasihat kepada sultan terutamanya berkaitan dengan agama Islam. Para ulama biasanya berketurunan Arab yang berasal dari Pulau Jawa, India dan Asia Barat. Biasanya mereka bergelar maulana, kadi dan makhdum

Golongan yang seterusnya dalam struktur masyarakat Melayu ialah golongan merdeka.

Mereka ini terdiri daripada rakyat biasa dan orang asing. Rakyat biasa merupakan penduduk pribumi yang menetap di negeri-negeri tertentu. Mereka biasanya menjalankan kehidupan dengan menjalankan aktiviti berniaga, menangkap ikan, melombong, tukang mahir dan sebagainya. Rakyat biasa merupakan poengikut yang taat setia kepada pembesar yang mentadbir daerah mereka. Mereka akan menjalankan apa sahaja kehendak golongan pembesar daerah misalnya dalam sistem kerah dan serah

Golongan merdeka yang kedua ialah orang asing. Merka ini tinggal sementara di Tanah Melayu dan akan kembali ke negeri asal mereka. Mereka merupakan golongan pedagang, perantau, mubaligh dan santeri serta orang asing yang datang ke Tanah Melayu sebagai tentera upahan. Dalam keadaan tertentu, ada di antara mereka berkahwin dengan penduduk tempatan dan menetap di Tanah Melayu. Masyarakat Tamil-Islam merupakan kumpulan orang asing yang paling ramai di Tanah Melayu. Golongan orang asing tidak wajib mematuhi tradisi dan kebudayaan tempatan Melayu tetapi mereka mestilah mematuhi undang-undang masyarakat Melayu.

Golongan yang menduduki lapisan paling bawah dalam struktur masyarakat Melayu sebelum tahun 1874 ialah hamba. Dalam masyarakat Melayu terdapat tiga golongan hamba iaitu hamba biasa, hamba berhutang dan hamba raja. Golongan hamba biasa merupakan orang suruhan atau keturunan hamba. Biasanya mereka ini diperdagangkan dan menjadi hamba seumur hidup malahan seluruh keluarganya menjadi hamba kepada tuannya. Manakala hamba ber­hutang merupakan orang biasa yang menjadi hamba kerana gagal membayar hutang. Jika seseorang itu ditangkap kerana mencuri dan gagal membayar harga barangan yang dicuri, orang tersebut akan dijadikan hamba. Golongan ini akan bebas setelah nilai hutangnya dilangsaikan setelah bekerja dengan tuannya. Biasanya kerja yang mereka lakukan ialah bertani dan melombong. Selian itu, hamba raja merupakan golongan merdeka yang telah melakukan kesalahan jenayah dan diampunkan oleh sultan. Sesetengah hamba raja merupakan tawanan perang bagaimanapun kedudukan golongan hamba raja dianggap paling tinggi dikalangan golongan hamba. Hamba raja akan menjadi hamba secara tutun temurun

Kesimpulannya, struktur masyarakat Melayu sebelum tahun 1874 sememangnya sistematik; daripada golongan memerintah sehinggalah kepada golongan yang di­perintah. Setiap golongan dalam struktur masyarakat Melayu mempunyai tugas dan peranan masing-masing. Namun, setelah campur tangan British dalam sistem politik negeri-negeri Melayu, struktur masyarakat Melayu telah mengalami perubahan yang ketara. Hal ini kerana peranan golongan pembesar dan hamba telah mula dihapuskan oleh penjajah British.

Saturday, October 2, 2010

Nilaikan kepentingan Hukum Kanun Melaka sebagai panduan yang lengkap dalam menjalankan pemerintahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Hukum Kanun Melaka juga dikenali sebagai Undang-undang Darat Melaka dan Risalat Hukum Kanun (dalam bahasa arab). Ia juga merupakan dokumen yang digubal sebagai panduan bagi seseorang pemerintah dalam menjalankan pemerintahan. Hukum Kanun Melaka merupakan undang-undang tradisional tertua di negara ini. Ia berasal daripada hukum yang dibuat oleh raja Iskandar Dzulkarnain dan kemudiannya diwarisi pemerintah Melaka pada abad ke-15. Undang-undang ini sungguh penting kerana menjadi panduan dalam menjalankan pemerintahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Hukum Kanun Melaka dapat mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam negara serta menjamin keselamatan rakyat. Dengan itu, perilaku jenayah di dalam negeri melaka dapat diatasi dengan baik dan terurus.Hal ini demikian kerana setiap jenayah akan dikenakan hukuman yang setimpal.sebagai contoh kesalahan membunuh akan dibalas dengan hukuman bunuh. Ini sudah tentu akan menjadi peringatan dan rakyat takut melakukan jenayah. sekaligus negara akan aman serta keselamatan rakyat lain terpelihara.

Selain itu, Hukum Kanun Melaka penting sumber rujukan bagi menentukan hukuman bagi kesalahan tertentu. dengan ini hukuman dapat dijatuhkan dengan seadil-adilnya dan mengikut undang-undang negara. tidak akan berlaku fenomena "main hakim sendiri" dalam kalangan masyarakat kerana Hukum Kanun Melaka sudah memaktubkan semua peruntukan yang berkenaan. Sebagai contohnya, dalam Hukum Kanun Melaka mengandungi hukuman awam atau undang-undang awam menyentuh perkara-perkara seperti hutang, penyewaan tanah, harta dan hamba. Selain itu, terdapat juga hukuman untuk perbuatan jenayah meliputi perbuatan membunuh dan menikam orang, menetak dan memukul, merampas dan mencuri, tidak menurut perintah raja dan menderhaka serta tuduh-menuduh. Peruntukan hukuman yang lengkap dalam hukum kanun melaka ini sesungguhnya telah menjadi panduan yang sempurna dalam menjalankan pemerintahan kerajaan.

Pentingnya Hukum Kanun Melaka juga terletak pada peranannya sebagai menentukan pembahagian tugas, peranan serta struktur pemerintahan. Dalam undang-undang tersebut, terkandung satu adat yang digelar Adat Lembaga yang di dalamnya mengkanunkan satu sistem pentadbiran dan pemerintahan yang teratur. Adat tersebut menerangkan tentang adat-adat raja dan larangannya, perihal peranan bendahara, temenggung, penghulu bendahari dan syahbandar dalam membantu raja. Hal ini dapat melancarkan pentadbiran, memudahkan urusan tertentu kerana berlaku pengkhususan yang sudah pastinya meningkatkan mutu dan produktiviti. Maka nyatalah, Hukum Kanun Melaka dapat menjadi panduan dalam menjalankan pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Di samping itu, kepentingan Hukum Kanun Melaka turut terserlah bagi mempertahankan sistem sosial. Ini turut dapat membezakan keistimewaan golongan raja dengan rakyat jelata. Walaupun golongan pemerintah amat berbeza dan jauh jurangnya dengan golongan yang diperintah, hak masing-masing sentiasa terpelihara. Raja berada pada hierarki tertinggi dalam struktur pemerintahan negeri, maka baginda menduduki tempat yang istimewa dalam masyarakat Melayu tradisional. Taraf seseorang raja ternyata berbeza berbanding dengan golongan rakyat samada dari segi kedudukan, pakaian, peralatan, atau pertuturan. bagi memastikan perbezaan antara raja dengan golongan rakyat biasa berkekalan, maka diadakan pelbagai peraturan dan larangan tertentu ke atas rakyat supaya wujud jurang antara pemerintah dengan rakyat, justeru memperkukuh kedudukan raja. Misalnya, raja sahaja yang berhak memakai pakaian kuning, payung kuning, pakaian nipis, keris berhulu emas. Rakyat dilarang menggunakan barang-barang tersebut kecuali dianugerahkan oleh raja. Walau bagaimanapun, kedudukan hamba terpelihara. Buktinya, sebahagian daripada peruntukan yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka menjelaskan tentang undang-undang perhambaan. Undang-undang ini memperakukan kedudukan hamba abdi, iaitu hamba abdi tidak diibaratkan seperti barang, tetapi mempunyai hak yang tertentu. Tegasnya, Hukum Kanun Melaka mengukuhkan institusi beraja di Melaka, mempertahankan sistem sosial yang adil. Peruntukan yang telah termaktub ini sebenarnya menjadi panduan bagi menjalankan pemerintahan baik melibatkan golongan bangsawan, rakyat jelata mahupun hamba.

Kesimpulannya, Hukum Kanun Melaka penting bagi melancarkan pemerintahan negeri. Undang-undang ini yang awalnya dipengaruhi oleh agama Hindu, diresapi unsur agama Islam yang ketara pada akhirnya. Hukum-hukum syarak ini meresap secara beransur-ansur. Sesungguhnya, undang-undang ini sungguh lengkap, menyentuh pelbagai perkara berkaitan dengan adat lembaga dan tanggungjawab pembesar, hukuman awam dan perbuatan jenayah serta perkara-perkara berkaitan dengan pertanian, perhambaan, dan kekeluargaan.

Saturday, May 22, 2010

Bincangkan perubahan kedudukan dan peranan penghulu sebelum dan selepas campur tangan British pada tahun 1874.

Pendahuluan

Unit politik paling kecil dalam system politik Melayu ialah kampung. Biasanya penghulu merupakan orang yang penting dalam pentadbiran kampung. Perlantikan penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah dan biasanya mereka ini akan menerima surat tauliah daripada Sultan

Isi.

Sebelum campur tangan British penghulu memainkan peranan sebagai orang perantaraan antara pembesar daerah dengan orang kampung. Penghulu menjalan tugas pentadiran disamping menyuarakan pandangan dan masalah yang dihadapi penduduk kampung yang ditadbirnya kepada pihak yang lebih tinggi. Penghulu mempunyai pengikut yang dikenali sebagai anak buah. Penghulu mempunyai pengaruh dan kuasa ke atas anak buahnya. Biasanya jawatan penghulu diwarisi dan golongan ini amat dihormati oleh penduduk kampung . Penghulu menyelesaikan pertikaian yang timbul, memilihara keamanan kampung, mengerah rakyat melaksanakan perintah pembesar dan raja secara sukarela, serta sebagai lambang perpaduan di sesebuah kampung. Penghulu tidak dibayar gaji tetapi mempunyai sumber pendapatan daripada cukai perdagangan dan bayaran sebahagian daripada hasil pendapatan yang diterima daripada anak buahnya.

Tugas lain penghulu adalah seperti :

1. menjaga keamanan kampung

2. membekalkan tenaga tentera semasa berlaku peperangan

3. menyediakan buruh dari kampungnya dibawah system kerah

4. memunggut cukai dan hasil-hasil

5. memastikan penduduk kampong taat setia kepada sultan dan pembesar daerah.

Penghulu adalah dibawah kawalan pembesar daerah . Penghulu sangat rapat dengan penduduk kampung dibawah kawalannya.

Selepas campur tangan British, institusi penghulu dikekalkan oleh British kerana British sedar akan kepentingan pengaruh penghulu dalam pentadbiran kerajaan. Penghulu merupakan orang perantaraan antara kerajaan British dengan kaum tani. Penghulu menjadi ejen atau wakil kerajaan di kampung mereka.

Di bawah British penghulu diberi gaji, berpencen dan biasanya mereka ini berpindidikan.

Penghulu tidak lagi dikawal oleh pembesar daerah tetapi oleh pihak British. Jika pihak British hendak berhubung dengan orang kampung, maka penghululah orang yang memainkan peranan penting. Penghulu tidak lagi dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi oleh pegawai daerah atau residen British. Segala pencalonan, perlantikan, pemecatan dan bidang kuasanya ditetapkan oleh residen dalam Majlis Mesyuarat Negeri dan sultan hanya mengesahkan sahaja.

· Tugas-tugas lain penghulu ialah :

  1. memungut hasil
  2. memilahara keamanan dan keselamatan
  3. menghakimi kes-kes jenayah kecil dan menjatuhkan hukuman.
  4. menyampaikan maklum balas rakyat kepada pihak kerajaan

Kesimpulan

Institusi penghulu penting sebelum dan selepas campur tangan British. Apa yang membezakannya adalah perubahan tugas. Selepas campur tangan British, penghulu tidak lagi dikawal pembesar daerah tetapi oleh British.. institusi penghulu telah dimasukkan dalam birokrasi awam British.. Penghulu adalah ahli kerajaan yang bergaji dan hak serta tanggungjawabnya tertakluk dibawah undang-undang negeri. Sumber kuasa penghulu adalah dari pentadbiran British dan bukan lagi pembesar daerah.

Friday, May 21, 2010

“Masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat feudal”. Bincangkan pernyataan ini.

Pendahuluan
• Masyarakat Melayu Tradisional merupakan masyarakat feudal
• Dari segi struktur, masyarakat ini dibahagikan kepada golongan pemerintah yang terdiri daripada sultan, pembesar daerah, serta penghulu dan golongan yang diperintah yang terdiri daripada rakyat bebas dan hamba. Hubungan antara kedua-dua golongan ini adalah hubungan timbal balik dan saling melengkapi antara lapisan sosialnya.
• Dalam masyarakat feudal ini, kedudukan politik golongan pemerintah tidak dipersoalkan langsung oleh golongan yang diperintah. Rakyat menerima sesuatu arahan tanpa soal.

Isi
i) Sultan sebagai tonggak pemerintahan
• politik feudal menentukan kekuasaan mutlak sultan.
• rakyat taat setia kepada sultan. Sesiapa yang melanggar perintah sultan dianggap menderhaka dan dipercayai akan ditimpa tulah.
• kedudukan sultan diperkukuhkan dengan system kepercayaan dan agama. Konsep daulat dan derhaka mengukuhkan kedudukan seseorang sultan.
• Sultan mempunyai keistimewaan yang membezakan dengan golongan lain, misalnya warna tertentu dikhaskan kepada sultan dan kerabatnya, penggunaan bahasa istana, cop mohor, nobat dan alat kebesaran.
• Sultan menjadi ketua dalam unit politik terbesar, iaitu negeri.

ii) Pembesar Daerah
• Menduduki lapisan selepas sultan dan termasuk dalam golongan pemerintah.
• Pembesar daerah memerintah di daerah atau kawasan pemakanan yang dikurniakan oleh sultan. Pembesar daerah dilantik oleh sultan melalui surat tauliah.
• Golongan pembesar daerah dibahagikan kepada beberapa lapisan. Secara amnya terdapat Pembesar Berempat, Pembesar Berlapan, Pembesar Enam Belas, Pembesar Tiga Puluh Dua dan seterusnya. Ini juga mencerminkan kedudukan mereka dikalangan pembesar daerah yang ada.
• Selain mentadbir, tugas pembesar daerah merangkumi tugas seperti memungut cukai dan menjaga keamanan. Sebahagian daripada cukai yang dipungut mesti diserahkan kepada sultan sebagai sagu hati.
• pembesar daerah menjadi perantaraan antara sultan dengan rakyat.


iii) Penghulu
• Menduduki lapisan selepas pembesar daerah.
• Mentadbir unit politik terkecil, iaitu kampung.
• Penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi dilantik oleh sultan melalui surat tauliah.
• Penghulu menjadi orang perantaraan antara pembesar daerah dengan anak buahnya di kampung.
• Penghulu menjalankan tugas memungut cukai dan hasil, menyelesaikan kes jenayah yang kecil, serta membekalkan buruh kepada sultan dan pembesar daerah melalui sistem kerah.

iv) Rakyat
• Rakyat terdiri daripada rakyat bebas dan hamba
• Rakyat taat setia kepada sultan dan pembesar daerah. Mereka membayar cukai kepada golongan ini dan menjalankan sistem serah dan kerah.

v) Hamba
• Menduduki lapisan paling bawah dalam hierarki masyarakat Melayu
• Terdapat tiga jenis hamba iaitu hamba raja, hamba biasa dan hamba berhutang.

vi) Hubungan saling bergantung/timba balik

a. Hubugan antara sultan dengan pembesar daerah.
• sultan memerlukan sokongan pembesar daerah kerana mereka merupakan penentu perlantikan sultan. Sultan memerlukan pembesar daerah untuk menjamin kedudukannya.
b. Hubungan antara pembesar daerah dengan sultan
• kekuatan dan pengaruh pembesar daerah mesti disokong oleh lencana dan gelaran yang hanya dikurniakan oleh sultan. Inilah yang akan diiktiraf oleh golongan bangsawan.
• sultan diperlukan oleh pembesar daerah untuk menjamin keamanan dan mengukuhkan ekonomi kerana baginda adalah lambing perpaduan dan kepentingan ekonomi Negara.
• Pemebsar daerah adalah orang perantaraan antara sultan dan rakyat.
c. Hubungan antara penghulu dengan sultan dan pembesar daerah.
• Penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi dilantik oleh sultan melalui surat tauliah.
• Penghulu adalah orang perantaraan antara pembesar daerah dengan anak buahnya.
d. Hubungan antara rakyat dengan golongan pemerintah.
• Rakyat memberi taat setia yg tidak berbelahbahagi kepada sultan dan pembesar daerah.
• Rakyat juga taat setia kepada penghulu di kampong mereka.
• Rakyat membayar cukai kepada golongan pemerintah dan menganggap pembayaran ini sebagai undang-undang.
• Rakyat menjalankan system kerah dan serah tanpa soal.

Kesimpulan.
• Memang tdk dinafikan bahawa masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat feudal.
• Masyarakat ini mempunyai lapisan social yang diketuai oleh sultan.
• Golongan pemerintah membekalkan keselamatan dan perlindungan manakala golongan diperintah memberikan perkhidmatan sebagai balasan kepada perlindungan dan keselamatan itu.

Monday, June 1, 2009

Bincangkan peranan adat, peraturan dan undang-undang yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional.

Hukum adat dan peraturan merupakan amalan yang dilakukan dalam sesebuah masyarakat sehingga ia menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat. Amalan ini dapat dilihat daripada adat resam yang diamalkan secara turun temurun. Manakala undang-undang pula lebih merupakan peraturan bertulis yang bertujuan untuk menjaga hak dan kepentingan pemerintah dan ahli keluarganya. Bagaimanapun hukum adat, peraturan dan undang-undang ini penting bagi mengawal perlakuan masyarakat, sekaligus dapat membentuk masyarakat yang harmoni.

Sesungguhnya adat, peraturan dan undang-undang penting dalam kehidupan masyarakat tradisional. Dengan adanya peraturan dan undang-undang, masyarakat akan sentiasa patuh dan sentiasa berhati-hati dalam apa sahaja tindakan yang akan dilakukan. Ini bermakna adat, peraturan dan undang-undang merupakan garis panduan yang mesti dipatuhi dalam masyarakat tradisional. Sesiapa yang melanggar adat dan peraturan sudah tentu akan dikenakan hukuman. Misalnya seseorang yang tidak menurut perintah raja akan dikenakan hukuman. Dalam soal peraturan dan adat pula pelanggarannya akan membawa seseorang itu dipandang serong atau dipulaukan dalam sesebuah masyarakat. Dengan adanya peraturan-peraturan sebegini, keselamatan rakyat terjamin dan seterusnya negara akan aman dan makmur

Disamping itu masyarakat tradisional terkenal dengan sopan santun yang tinggi. Seseorang yang mempunyai nilai budi yang tinggi akan disanjung dan disebut namanya dalam masyarakat sehinggakan dalam soal pemilihan jodoh, orang yang mempunyai budi pekerti yang tinggi menjadi satu syarat dalam pemilihan menantu. Dalam soal menjaga ketertiban dalam masyarakat ini jelas sekali bagaimana orang-orang yang lebih tua akan mendidik dan mengasuh bagaimana untuk menghormati orang tua, orang yang lebih muda mesti menghormati orang yang lebih tua, kanak-kanak tidak boleh mencampuri perbualan orang tua dan jika ini berlaku maka seseorang itu dianggap biadap.segala adat dan peraturan ini jelas sekali mendidik generasi muda supaya menjaga ketertiban agar dipandang mulia disisi masyarakat.

Undang-undang dan adat yang terdapat dlm masyarakat digunakan untuk menjaga dan mengukuhkan kedudukan golongan pemerintah iaitu raja dan pembesar. Ini dapat dibuktikan dalam HKM, Undang-undang Pahang dan Undang-undang Johor jelas memperlihatkan keistimewaan raja dan larangan-larangan kepada rakyat jelata. Contohnya larangan memakai pakaian kuning, menggunakan bahasa dalam dan sebagainya adalah bertujuan agar masyarakat menghormati, dan menyanjung raja. Kedudukan raja ini diperkukuhkan lagi dengan konsep daulat dan derhaka sehingga rakyat tidak boleh mempersoalkannya.

Dalam hukum adat, peraturan dan undang-undang jelas sekali memperlihatkan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi. Misalnya dalam Hukum Kanun Melaka disenaraikan peraturan-peraturan yang meliputi semua aspek kehidupan yang merangkumi perkara-perkara seperti adat lembaga, perbuatan jenayah, dan undang-undang awam. Semua peraturan ini menjadi panduan dan penyelewengan undang-undang ini akan dikenakan tindakan hukuman. Tindakan menghukum kepada pesalah secara tidak langsung memberi amaran kepada sesiapa yang melanggar undang-undang dan dalam masa yang sama melatih rakyat berdisiplin dan mengikut peraturan.

Undang-undang dan adat dapat menentukan tanggungjawab dan hak setiap anggota masyarakat dalam masyarakatnya. Tanggungjawab dan hak setiap anggota masyarakat tidak boleh dipersoalkan kerana telah termaktub dalam undang-undang dan adat. Contohnya dlm UULM telah dinyatakan bidang tugas nakhoda, jurumudi,jurubatu, malim dan kiwi.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa Hukum Adat peraturan dan undang-undang memberi sumbangan yang besar dalam masyarakat Melayu. Ia meliputi dalam semua aspek kehidupan. Pengamalannya menjamin keharmonian, kesejahteraan dan keamanan dalam masyarakat Melayu tradisional

Saturday, May 2, 2009

Kepercayaan dan Agama masyarakat Melayu Tradisional di Tanah Melayu

Masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu sebelum kedatangan Barat mengamalkan pelbagai bentuk agama dan kepercayaan yang mempengaruhi kehidupan mereka. Bincangkan

Pengenalan
• Amalan agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu membuktikan bahawa masyarakat Melayu ketika itu sudah memiliki tamadun yang tinggi.
• Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat awalnya berbentuk animisme. Ia kemudiannya berkembang dengan meluas kepada kepercayaan agama Hindu dan Buddha. Bagaimanapun kepercayaan ini mula merosot apabila Islam tersebar meluas di kalangan masyarakat Melayu.

Isi-isi penting
Kepercayaan animisme
• Kepercayaan animisme merupakan bentuk kepercayaan paling awal sebelum kehadiran agama lain. kepercayaan ini berhubung kait dengan alam semula jadi.
• Mereka percaya semua benda di dalam dunia ini mempunyai roh atau semangat yang mempengaruhi kehidupan manusia sama ada baik atau buruk.
• Roh atau semangat ini perlu dipuja agar membawa kebaikan dan menambahkan rezeki. Keadaan ini telah mempengaruhi kehidupan mereka kerana terdapatnya aktiviti-aktiviti memuja pantai atau semangat padi bagi menjamin keselamatan dan menambahkan hasil padi.
• Dengan ini timbullah konsep pantang larang, adat istiadat, undang-undang, kebudayaan dan sebagainya. Bagi memuja semangat ini lahirlah tarian,nyanyian,drama,muzik ,unsur mainan,mentera,adat menanam,adat kematian dan sebagainya yang ada hubungan dengan kepercayaan itu.
• Kemunculan unsur budaya seperti tarian,nyanyian,unsur mainan dan sebagainya sebenarnya berasaskan kepada kepercayaan kuasa ghaib seperti memuja semangat padi,hantu laut dan sebagainya. unsur ini menjadi hiburan dan mainan yang pada asalnya merupakan upacara yang berkaitan dengan kuasa ghaib. Contohnya Main Puteri, Main Dewa, memutus ubat dan sebagainya.
• Berkaitan dengan unsur mainan dan tarian tadi maka lahirlah upacara jampi serapah yang betujuan untuk melindungi permainan daripada segala bencana dan menghalau jin dan hantu daripada menggangu persembahan. Setiap persembahan ada peraturan dan pantang larang kerana asal usul sesuatu jenis persembahan selalunya dihubungkait dengan kuasa ghaib.
• Dengan wujudnya pelbagai kepercayaan tersebut maka wujud satu golongan masyarakat yang dihubungkaitkan dengan upacara-upacara pemujaan seperti dukun,tabib,pawang,nenek kebayan dan sebagainya yang bertanggungjawab memulih diri seseorang yang dipercayai disampuk atau hilang semangat.
• Terdapat juga bentuk kepercayaan terhadap roh orang yang sudah mati. Mereka percaya individu yang semasa hidupnya mempunyai kuasa hebat apabila mati akan tetap memberi perlindungan. Berdasarkan kepercayaan inilah masyarakat tempatan memuja roh si mati agar dapat memberi perlindungan.

Agama Hindu-Buddha
• Pengaruh agama Hindu pula dikatakan tersebar sejak abad ke 6 lagi yang dibawa oleh pedagang India. Penyebaran agama ini berkembang pesat apabila kedatangan golongan Brahmin dan penerimaan agama ini oleh golongan pemerintah.
• Ajaran ini diterima oleh pemerintah kerana agama ini berpegang teguh kepada konsep Dewaraja iaitu raja adalah tuhan dibumi yang sekaligus memperkukuhkan kedudukan raja sebagai pemerintah.
• Sebagai contoh, terdapat dua buah kerajaan Hindu di Tanah Melayu iaitu kerajaan Langkasuka dan kerjaaan Kedah Tua. Disamping itu terdapatnya penyembahan Dewa Siva dan Vishnu, yang dapat dilihat daripada pembinaan Candi Bukit Batu Pahat dan Candi Bukit Pendiat di Lembah Bujang, Kedah.
• Agama Buddha pula turut tersebar di kalangan masyarakat tempatan dan ia mempunyai pertalian dengan agama Hindu. Ini disebabkan agama ini mengalami pengubahsuain dengan unsur-unsur agama Hindu
• Agama ini diasaskan oleh Sidharta Gautama di India. Agama ini melarang manusia melakukan kekejaman kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan.
• Ajaran agama Buddha ini mudah diterima kerana anggapan mereka bahawa pengasas agama Buddha merupakan penjelmaan kembali salah satu daripada Dewa Hindu. Dengan ini masyarakat tempatan mula menganuti pencampuran agama Hindu dan Buddha.
• Sesungguhnya agama Hindu dan Buddha telah meninggalkan kesan yang besar terhadap masyarakat tempatan dari aspek keagamaan,pemerintahan,pentadbiran,kesusasteraan dan bahasa.
• Dari segi pemerintahan konsep raja mula digunakan. Amalan pertabalan di raja mempunyai kaitan dengan unsur Hindu-Buddha yang disempurnakan oleh golongan Brahmin. Sehubungan dengan itu lahirlah konsep dewaraja, unsur kesaktian,mitos dan lagenda untuk memperkukuhkan kedudukan raja.
• Contoh yang lain dapat dilihat dalam bidang kesusasteraan dimana masyarakat tempatan mula terpengaruh dengan epic Ramayana dan Mahabharata yang kemudiannya lahirlah bentuk penceritaan lisan,mitos dan teater seperti wayang kulit.

Agama Islam
• Kedatangan agama Islam pada abad ke 7 telah menghakis sebahagian amalan kepercayaan Hindu Buddha yang telah lama bertapak di Tanah Melayu
• Agama Islam disebarkan oleh golongan pedagang dan pendakwah Islam dari Asia Barat.
• Ajaran Islam menekankan dua aspek penting iaitu Akidah dan Syariah. Akidah ialah kepercayaan seluruh jiwa raga terhadap keEsaan Allah manakala syariah merupakan perundangan dan hukum Islam berdasarkan Al Quran dan Hadis.
• Ajaran Islam berlandaskan kepada lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman yang wajib diketahui oleh penganutnya.
• Kedatangan agama Islam telah membawa perubahan yang besar dalam politik, perundangan, ekonomi, dan budaya masyarakat Melayu.
• Dari segi politik jelas dapat dilihat dengan penggunaan gelaran pemerintah iaitu raja telah digantikan dengan gelaran sultan. Malahan sultan dianggap sebagai ketua agama Islam. Segala upacara rasmi didahului dengan doa. Pemimpin agama merupakan penasihat sultan dalam hal-hal mengenai hukum syarak atau hal berkenaan dengan agama Islam.
• Dari segi perundangan hukum syarak digunakan berpandukan al-Quran dan al-Hadis
• Dalam aspek perniagaan, Islam mengharamkan riba dan menggalakkan umatnya mencari rezeki yang halal.
• Disamping itu amalan zakat dan fitrah sedikit sebanyak telah membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menjalani kehidupan
• Dari segi sosial pula wujudnya semangat jihat bagi memilihara kesucian agama Islam daripada penjajahan Barat. Malah Islam menggalakkan umatnya sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah.
• Dari segi adat pula didapati terdapat pengubahsuaian daripada unsur Hindu-Buddha kepada unsur keislaman seperti perkahwinan,adat turun tanah,melenggang perut,berkhatan dan sebagainya.
• Adat bercukur dimulakan dengan berzanji dan marhaban iaitu bacaan mengenai kisah kelahiran dan kebesaran nabi Muhammad. Upacara ini diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebagai mengucap syukur kepada Allah.
• Pada peringkat awal Islam, pengajian al-Quran menjadi asas kepada system pendidikan awal ketika itu. Disamping itu mereka belajar sembahyang dan fardu ain. Biasanya mereka belajar di sekolah pondok

Penutup
• Walaupun terdapat pelbagai bentuk kepercayaan di kalangan masyarakat tempatan, namun amalan animisme tetap subur dan terus dipercayai.
• Penyebaran agama Hindu-Buddha serta Islam telah memberi kesan yang besar dalam kehidupan masyarakat Melayu terutamanya dalam aspek kesenian.
• Kedatangan Barat telah menambahkan lagi agama masyarakat di Tanah Melayu iaitu agama Kristian.

Friday, May 1, 2009

Undang-undang Melaka dan Undang-undang 99 Perak

Bincangkan peranan adat dan undang-undang dalam masyarakat Melayu tradisional dan nyatakan ciri-ciri yang terdapat dalam Undang-undang Melaka dan Undang-undang 99 Perak.

Pengenalan
• Adat penting dalam maysarakat Melayu tradisional kerana ia dijadikan sebagai panduan hidup masyarakat kea rah keharmonian hidup.
• Adat berkaitan dengan hal tatacara, peraturan, larangan dan upacara-upacara yang mesti dipatuhi.
• Undang-undang pula sebenarnya wujud bersumberkan daripada adat yang diwarisi itu. Setiap negeri boleh dikatakan ada undang-undang bertulisnya sendiri antaranya Undang-undang Melaka dan Undang-undang 99 perak.

Isi-isi penting
• Adat memainklan peranan penting mengawal tingkahlaku masyarakat dan dengan ini keselamatan anggota masyarakat terjamin.
• Adat juga boleh mengeratkan hubungan persaudaraan dikalangan anggota masyarakat. Sebagai contoh pembahagian harta warisan keluarga dapat menjamin hak seseorang dalam masyarakat. Adanya panduan ini dapat mengelakkan peristiwa yang tidak diingini dalam masyarakat.
• Selain itu undang-undang dan adat digunakan oleh pihak pemerintah untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam system pemerintahan. Sebagai contoh Hukum Kanun Melaka jelas dinyatakan larangan-larangan dan keistimewaan raja yang nyata sekali rakyat tidak boleh mempersoalkannya. Dengan cara ini kedudukan raja terjamin.
• Undang-undang dan adat juga dapat menentukan tanggungjawab hak setiap anggota masyarakat. Sebagai contoh dalam Undang-undang Laut Melaka jelas dinyatakan tugas dan tanggungjawab seorang nakhoda, jurumudi, jurubatu dan sebagainya. Jika dilihat dalam adat Temenggung pula jelas dinyatakan bahawa raja mempunyai kuasa mutlak dan rakyat pula menerima tanpa ragu-ragu.
• Jika semua ini dipatuhi dan rakyat tahu peranan dan tugas masing-masing, maka keamanan dan keharmonian terjamin dan hidup aman berkekalan.
• Salah satu undang-undang bertulis yang terdapat di Melaka ialah Undang-undang Melaka atau lebih dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka. Undang-undang ini mengandungi 44 bab yang antara lain dinyatakan tugas raja dan pembesar serta peraturan rasmi di istana.
• Selain daripada itu dinayatakan juga hukuman yang dikenakan ke atas penderhaka dan pencuri. Perbuatan jenayah seperti mencuri, membunuh, tidak menurut perintah raja akan dikenakan hukuman yang setimpal. Sebagai contoh hukuman seorang pembunuh ialah hukuman bunuh
• Dinyatakan juga dalam Hukum Kanun Melaka bahawa seseorang raja itu mempunyai pembantu dalam melaksanakan urusan kerajaan. Sebab itulah wujud system pembesar Berempat iaitu Bendahara, Temenggung, Penghulu bendahari dan Laksamana yang mempunyai peranan dan tugas masing-masing dalam urusan kerajaan.
• Menurut undang-undang Melaka, hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada seseorang yang berpangkat tinggi jika didapati bersalah. Penghakiman akan dilaksanakan oleh sultan dan pembesar negeri.
• Oleh kerana Islam merupakan agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka, maka undang-undang yang digubal sebenarnya berdasarkan hukum syarak. Ini bersesuaian dengan taraf Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam yang utama di Nusantara.
• Undang-udang 99 Perak pula mengandungi 99 perkara. Undang-undang ini tergolong dalam rumpun adat temenggung dan dikatakan sebagai undang-undang yang paling bertimbang rasa dan berperikemanusiaan.
• Didalam undang-undang ini disenaraikan tugas dan tanggungjawab sultan, pembesar dan penghulu untuk memudahkan pentadbiran kerana jelas dinyatakan pembahagian dan pengkhususan kerja itu agar tidak timbul kekeliruan.
• Disenaraikan juga cara dan syarat perlantikan pegawai-pegawai kerajaan. Sebagai contoh perlantikan seorang kadi mestilah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang Islam.
• Selaian itu undang-undang ini menyebut tentang hal dakwa mendakwa dikalangan anggota masyarakat
• Undang-undang ini juga menyebut garis panduan tentang hubungan antara pemerintah dengan pembesar serta antara golongan pemerintah dengan rakyat.
• Peraturan tentang pembahagian harta, perhambaan dan perkahwinan turut dinyatakan . sebagai contoh dalam pewarisan harta, undang-undang ini menetapkan hak dan harta warisan anak.

Penutup
• Adat dan undang-undang penting dalam menjamin keamanan dan keharmonian hidup masyarakat.
• Dengan adanya garis panduan bagi golongan pemerintah dan yang diperintah, memudahkan lagi anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing.
• Tidak dinafikan bahawa undang-undang yang terdapat di Perak dan Melaka menggunakan hukum syarak sebagai pedomannya kerana kedua-dua negeri tersebut menjadikan Islam sebagai agama rasminya